Tuesday, July 6, 2010

Wanita beriman - Lebih jelita daripada bidadari

SELEPAS Allah menceritakan apa yang akan disediakan bagi musuh-musuhnya, iaitu azab api neraka, Dia meneruskannya dengan menyebut apa yang disediakan kepada hamba-hamba-Nya yang soleh.

Inilah cara al-Quran yang menghimpun antara ancaman dan galakan untuk menjadi perbandingan keadaan orang yang baik dengan mereka yang derhaka. Lantas Allah berfirman:

"Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, Sesungguhnya mereka beroleh syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah Yang telah diberikan kepada Kami dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu Yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka Dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri Yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.". (QS Al-Baqarah : 25)

Sekadar gambar hiasan

Allah memulakan ayat ini dengan menyuruh Rasulullah SAW supaya menyampaikan berita gembira seperti yang dirakamkan dalam firman-Nya 'Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik', dengan maksud berilah berita gembira wahai Muhammad kepada orang yang beriman dan bertakwa.

Di dunia mereka berada dalam kebaikan, menghimpunkan keimanan dan amalan yang soleh, iaitu amalan soleh yang merangkumi semua jenis.

Diriwayatkan daripada Usman bin Affan katanya, ``Amalan soleh merujuk kepada mereka yang ikhlas dalam amalan.''

Manakala Ali bin Abu Talib pula berpendapat, ``Amalan soleh merujuk kepada mereka yang mendirikan sembahyang fardu.''

Nikmat

Sebagai balasannya ialah `bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya', yakni mereka akan mendapat habuan yang begitu banyak dan besar lagi agung daripada Allah, seperti kebun-kebun dan taman-taman yang mempunyai pohon kayu yang banyak dan tempat tinggal, yang uniknya anak-anak sungai mengalir di bawah istana-istana dan tempat tinggal mereka.

Seterusnya, Allah menggambarkan nikmat mereka dengan `setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu', iaitu tatkala dikurniakan dengan kurniaan dan diberi rezeki yang berupa buah-buahan enak dalam syurga, `mereka mengatakan, ``Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu'' iaitu ia seperti makanan yang pernah dimakan oleh mereka sebelum ini di dunia.

Sekadar gambar hiasan

Ahli tafsir berkata, ``Sesungguhnya ahli syurga diberi rezeki yang berupa buah-buahan yang didatangkan oleh malaikat dan apabila dihidangkan kepada mereka untuk kali keduanya, mereka berkata, ``Inilah yang telah kamu bawa kepada kami sebelum ini.'' Lantas malaikat menjawab,'' Makanlah dulu wahai hamba Allah. Warnanya sahaja yang sama tetapi rasanya berlainan.''

Justeru, Allah menyebut `Mereka diberi buah-buahan yang serupa', yakni hampir sama pada bentuk dan pandangannya tetapi bukan pada rasa dan perkhabarannya.

Ibn Jarir berkata, ``Ia sama pada warna dan penglihatan tetapi tidak pada rasanya.'' Ibn Abbas pula berkata, ``Tidak serupa sesuatupun apa yang ada di syurga dengan apa yang ada di dunia kecuali pada namanya sahaja.''

Seterusnya Allah berfirman `dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci', yakni di dalam syurga mereka dikurniakan isteri-isteri daripada bidadari-bidadari yang dibersihkan daripada kotoran dan najis, sama ada hissiah atau maknawiah.

Mujahid berkata, ``Suci di dalam ayat itu bermaksud mereka bersih daripada haid, nifas, qada hajat termasuk hingusan.'' Qatadah pula berkata, ``Ia bermaksud suci daripada penyakit dan dosa.''

Manakala Ibn Abbas, seperti yang dinaqalkan oleh Ibnu Kathir berkata, ``Ia bermaksud suci daripada kotoran dan penyakit.'' Al-Mawardi pula di dalam kitabnya, al-Nukat al-Uyun berpendapat, ``Ia bermaksud suci pada tubuh badan, akhlak dan perbuatan. Juga tidak haid, beranak dan qada' hajat.'' Dan inilah pendapat semua ulama tafsir.

Mengikut riwayat, wanita-wanita dunia yang benar-benar beriman adalah jauh lebih cantik dan jelita berbanding bidadari.

Tiada yang lebih jelita dari bidadari melainkan wanita solehah

Ini sebagaimana yang dirakamkan Allah dalam surah al-Waqiah. Syeikh as-Syanqiti di dalam kitabnya Adwa' al-Bayan menyebut, ``Allah tidak menerangkan di sini sifat-sifat isteri tersebut tetapi dinyatakan sifat-sifat mereka yang jelita di dalam ayat-ayat-Nya yang lain.

Allah s.w.t. menyebut `dan mereka kekal di dalamnya', iaitu mereka sentiasa dalam kesempurnaan kemuncak kebahagiaan.

Sesungguhnya, mereka bersama nikmat ini berada pada makam yang terpuji. Mereka berbahagia hidup bersama isteri-isteri mereka dengan penuh ketenangan yang kekal abadi tanpa sebarang kesusahan. Beruntunglah wanita-wanita yang menjaga kehormatan di dunia, yang beriman dengan kitab Allah dan sunnah Rasulnya kerana kelak tingkatan ganjaran yang dikurniakan Allah tiada tandingannya. Tiada yang lebih cantik dari bidadari, tetapi kemuliaan yang diberikan Allah kepada wanita solehah melebihi segalanya. Ayuh rebut peluang ini wahai Muslimah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails