Thursday, July 15, 2010

Syaaban, bulan persediaan menyambut Ramadhan

Alhamdulillah, berlalu sudah Rejab, kini Syaaban menjelma. Moga diberi kesempatan oleh Allah untuk bertemu dengan Ramadhan. Rasulullah SAW menyarankan umatnya banyakkan berdoa bila tiba bulan Rejab,

اللهم بارك لنا فى رجب وشعبان وبلغنا رمضان
” Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan “. (HR Ahmad dan At Tabrani, daripada Anas)

Bulan Syaaban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah SAW. Baginda akan lebih banyak berpuasa di bulan ini. Baginda paling banyak berpuasa sunat pada bulan Syaaban berbanding bulan-bulan yang lain.

Perkara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW patut dicontohi kerana selain memperbanyakkan amal kebajikan di bulan ini ,ia juga merupakan latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadan.

Antara keistimewaan bulan ini ialah seluruh amalan manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah SWT, sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan.

Selain daripada itu banyak lagi amal kebajikan yang boleh dilaksanakan di bulan Syaaban ini sebagai persiapan menyambut kedatangan Ramadan seperti memperbanyakkan selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, berqiamullail, banyak bersedekah, banyakkan istigfar dan sebagainya. Maka rebutlah peluang dan kelebihan yang ada di bulan Syaaban ini untuk mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita. Rasulullah SAW pernah ditanya, mengapa baginda melebihkan berpuasa sunat di bulan Syaaban berbanding bulan-bulan yang lain? Baginda bersabda yang bermaksud:

"Bulan itu (Syaaban) yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Allah, maka aku suka supaya amal ibadah ku di angkat ketika aku berpuasa". (HR An-Nasaie)

Malam Nisfu Syaaban

Kelebihan Malam Nisfu Syaaban itu telah disebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu'az bin Jabal r.a Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya di Malam Nisfu Syaaban, maka diampunkan dosa sekalian makhlu-kNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan." (HR Ibnu Majah, At-Thabaroni dan Ibnu Hibban)

Pada malam Nisfu Syaaban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Menurut Imam Asy-Syafie dalam kitabnya al-Umm telah berkata: 'Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Aidil Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.'

Setiap mukmin pasti merindui datangnya bulan Ramadhan. Syaaban sebagai persediaan seharusnya diperbanyakkan dengan amalan-amalan sunat setakat yang kita mampu. Semoga Ramadhan yang bakal tiba dapat diharungi dengan penuh sempurna, insyaAllah.
 
Sabda Nabi SAW maksudnya: "Lakukanlah amalan setakat yang kamu terdaya. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu semua jemu. Sembahyang yang paling disukai oleh Nabi SAW iaitu yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit apabila baginda sembahyang. Apa jua sembahyang ia akan lakukan secara berterusan". (HR Bukhari)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails