Thursday, May 13, 2010

Hadiah terbaik untuk Hari Ibu

Teringat waktu kecil2..
Perit ibu mengandung selama 9 bulan hilang seketika selepas melahirkan. Bermula detik itu, karenah si anak pula terpaksa dilayan, tangisan demi tangisan membingitkan suasana, namun si ibu tak pernah rasa jemu demi seorang anak. Setiap malam si ibu sentiasa berjaga kalau2 si anak digigit nyamuk, jika menangis disusukan takut2 si anak kelaparan.. MasyaAllah, terlalu hebat pengorbananmu, memang layaklah jika pahala syahid dianugerahkan untuk seorang ibu.

“Wanita yang sedang hamil dan menyusui sampai habis masa menyusuinya seperti pejuang di garis depan fi sabilillah. Dan jika ia meninggal di antara waktu tersebut, maka sesungguhnya baginya pahala mati syahid.” (H.R. Tabrani).

Setiap tahun wanita yang bernama ibu diraikan atas jasa melahirkan dan mendidik kita. Ada yang menghantar ucapan, hadiah dan seumpamanya sebagai tanda penghargaan kepada si ibu. Berbanggalah kerana kita sentiasa ingat akan tarikh ulangtahun hari ibu. Namun, bagi seorang muslim, ibu bukan untuk dihargai pada hari tertentu sahaja, alangkah baiknya jika kita jadikan setiap hari sebagai hari ibu. Sentiasa bertanya khabar, ziarah menziarahi juga adalah tanda terima kasih kepada mereka.

Cuba kita renungkan, betapa besar jasa seorang ibu, mampukah kita membalas jasa mereka? Semestinya tidak bukan. Yang pasti kita banyak menyusahkan ibu drpd kita berbuat baik kepada mereka. Sudahlah sewaktu kita kecil mereka penat melayan kita, waktu tua mereka dibebankan pula dengan kehadiran cucu yang diserahkan kepada mereka atas alasan kita sibuk bekerja.. Cukuplah memerah keringat si ibu, berilah waktu luang kepada mereka. Biarlah mereka rehat daripada mengasuh anak2 kita.

Mungkin tak ramai anak yang baik sejak kecil, tak pernah melawan cakap ibu, Alhamdulillah jika dewasanya juga begitu. Tapi, kekadang kita terlupa atau tak sedar mungkin ada silap yang terlanjur.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Q.S. Al-Israa’: 23-24)

Jika hari ibu ini dipilih untuk menelefon si ibu, mohonlah keampunan kepada mereka. Atau mugkin kita malu untuk mengucapkan dengan kata, maka berbuat baiklah kepada mereka. Sekurangnya kita mampu untuk meluahkan rasa bersalah yang terbuku. Jiwa si ibu pasti merasai, insyaAllah.

Tiada ibu bapa yang tidak mahu melihat anaknya berjaya, bagi si anak, inilah hadiah terbaik untuk ibu bapa, segulung ijazah, segemgam harapan untuk memberi kehidupan yang selesa kepada orang tua.. Tapi kita lupa, kejayaan yang hakiki bukanlah di dunia sahaja. Koreksilah diri, carilah kejayaan untuk keduanya, dunia dan akhirat. Itulah kejayaan sebenarnya.. Seorang anak adalah harta bagi kedua ibu bapanya dan harta yang paling berharga adalah hadiah yang terbaik untuk seorang ibu; anak soleh yang selalu mendoakan kedua orang tuanya yang telah pergi mahupun ketika hayat mereka. Jadilah hadiah yang terbaik untuk ibu bapamu. Terima Kasih Ibu…

Rasulullah bersabda.. Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu : Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya“.


Selamat Hari Ibu..

Ibn Razi, 2.30 A.M.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails