Saturday, September 21, 2013

Jatuhnya kerajaan Islam pimpinan Dr Mohamed Morsi

Penggulingan Presiden Mesir, Dr Mohamed Morsi oleh tentera negara tersebut merupakan detik hitam kepada sejarah demokrasi yang baharu sahaja muncul subur pasca Pilihan Raya Mesir dua tahun lalu. Morsi dipilih secara demokratik melalui undi yang diperolehi dalam pilihan raya oleh kuasa rakyat.

Sebaik Morsi menerajui Mesir, pelbagai pendekatan dilakukan dalam keadaan kegoncangan akibat sabotaj pihak tertentu khasnya dari dalam pentadbirannya, mahupun musuh yang masih bertenggek atas nama Hosni Mubarak. Morsi boleh dikatakan memerintah sendirian apabila pentadbiran sebelum ini dilihat tidak mahu bekerjasama membangunkan Mesir di bawah pimpian Morsi.

Dr. Morsi, presiden kelima Mesir hanya memerintah selama setahun (30 June 2012 – 3 July 2013)

Ramai pemerhati bebas melihat, punca penggulingan dan desakan menjatuhkan Morsi melalui protes besar-besaran memang didalangi barat khasnya Amerika Syarikat dan sekutunya, Israel.

Amerika dan Israel tidak sekali mahu melihat Mesir di bawah pengaruh Islamisasi kerana apa yang mereka mahukan, negara itu kekal sekular dan menjadi benteng kepada Amerika dalam melebarkan pengaruhnya di Wilayah Arab.

Dapat dilihat, pentadbiran Morsi selama setahun itu digoncangkan selepas dua kumpulan dalam pentadbiran beliau sering berselisih pendapat. Tidak dinafikan penentang Morsi itu sendiri terdiri daripada individu mempunyai hubungan rapat dengan 'Rumah Putih'.

Sementara kumpulan penyokong beliau terdiri daripada gerakan Ikwanul Muslimin yang telah bertapak di Mesir lebih 80 tahun, dan dinafikan hak berpesatuan, hak berparti politik dan menyertai pilihan raya atas nama Ikhwanul Muslimin.

Tindakan Morsi melantik Abdel Fattah Assisi sebagai komander tertinggi negara, membawa padah sedangkan Presiden Mesir itu sering dituduh memonopoli kuasa dengan memberikan jawatan tertinggi kepada ahli Ikwanul Muslimin.

Lantikan Abdel Fattah merupakan kejutan terhadap Ikhwanul Muslimin, malah ada anggota yang mempertikai pelantikan itu. Namun, Morsi memberi jaminan Abdel Fattah seorang yang boleh dipercayai dalam pentadbirannya.

Selepas setahun pemerintahannya, Mesir semakin dilanda protes jalanan yang menyebabkan hari demi hari tekanan ke atas Morsi, malah isu bekalan minyak dijadikan alasan utama untuk menolak Morsi daripada menerajui Mesir.

Umum mengetahui, krisis minyak dicipta pihak pembangkang dan juak-juak Hosni Mubarak serta campur tangan Amerika untuk disensasikan dan mendoktrin rakyat untuk turun memprotes.

Selepas berjaya menggoncang Mesir, dan menjatuhkan Morsi pada 4 Julai lalu, kemudian Presiden sementara dilantik, Adly Mansour kini Amerika kemungkinan mencadangkan nama ejen Amerika, Mohamed El- Baradei tersenarai dalam kerajaan sementara Mesir sebagai Presiden atau Perdana Menteri.

Bekas pemenang Anugerah Nobel Keamanan dan bekas Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu mungkin bergelar Perdana Menteri tatkala digambarkan kononnya berjaya meredakan krisis di negara itu.

Bagaimanapun, umum dapat melihat cadangan itu tidak menyejukkan pergolakan, kerana Dataran Tahrir dan Dataran Raba’ah masih bermandi darah akibat pertempuran penyokong Morsi dan tentera, polis dan puak tamarrod Mesir.

 
Masjid Rabi'atul Ádawiyah yang dibakar puak-puak "tamarrod"

Sumber agensi mengesahkan, pelantikan ElBaradei dibuat selepas Presiden sementara, Adly Mansour mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin dalam barisan kerajaan sementara termasuk tentera.

Sebelum lantikan dibuat, Angkatan Tentera Mesir diketuai Jeneral Abdel Fattah al Sisi sedaya upaya meyakinkan ‘parti atas pagar’ Salafi Al-Nour untuk serta menyokong pelantikan itu.

Perkembangan terkini itu menyaksikan pihak yang menggulingkan Morsi bergembira dan meraikan kejayaan menjatuhkan sebuah kerajaan sah yang dipilih rakyat.

Pergerakan Tamarod, Parti Penyelamat Negara dan penyokong anti Morsi khasnya kini sedang bersorak di Dataran Tahrir dan di hadapan Istana Ittihadiya bagi menyokong pelantikan tersebut.

Dalam masa yang sama, Amerika terus tersenyum lebar selepas dapat meranapkan kerajaan rakyat yang dipimpin Morsi, seorang Hafiz Quran.

Di satu sisi, penyokong Morsi meratap sayu kejatuhan itu kerana pada mereka inilah detik hitam ciptaan Barat untuk merosakkan demokrasi yang baharu terbina di Mesir. Begitupun, pejuang Islam tidak betah dengan kejatuhan kerana mereka sudah diuji dengan kesengsaraan ditekan selama 80 tahun lalu.

Pengikut setia Morsi melakukan solat hajat di kubu mereka di Dataran Raba'ah dengan ulama terkemuka Mesir, Yusuf al-Qaradawi mengeluarkan kenyataan meminta jutaan rakyat Mesir meneruskan sokongan ke atas Morsi. Usaha ini usaha terakhir kepada pejuang Islam dalam memperjuangkan pembebasan Morsi, sedang tiada siapa yang tahu apa nasib Morsi selepas ditahan pihak tentera pada 4 Julai lalu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails