Keberkahan waktu diangkat. Masa berlalu dengan pantas tanpa manusia mempedulikan kebaikan yang perlu dimanfaatkan. Bagi seorang mukmin, Allah menjamin waktunya (keberkahan dalam waktunya), yakni terasa cukup dengan waktu yang diberikan kepadanya.
Beramal dengan zikir, mengaji dan melakukan amal-amal ibadat yang lain akan sampai terasa jemu kerana terlalu lama waktunya, walhal mereka tidak pernah puas untuk melakukan amal kebaikan. Manakala bagi yang sibuk dengan urusan dunia, waktunya terasa singkat kerana tiada berkah dalam waktunya.
Segala puji bagi Allah yang atas nikmat dan kurnia-Nya kerana diizinkan untuk bertemu lagi dengan Ramadan. Kalau diluar sana masih ada yang tidak peka untuk merebut ganjaran Ramadan, rugilah seadanya. Siapa tahu Ramadan kali ini mungkin yang terakhir. Jom sama-sama menghayati amalan yang dituntut dalam bulan ini disamping merperbaiki amal puasa yang kita lakukan.
Makan sahur mempunyai banyak keutamaan. Selain kerana Nabi SAW sangat menganjurkannya, makan sahur merupakan pembeda antara puasa kaum muslimin dengan puasa ahlul kitab (Yahudi dan Nasrani). Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda “Perbedaan antara puasa kita dengan puasa ahlul kitab terletak pada makan sahur” [HR. Muslim]
Dianjurkan juga mengakhirkan makan sahur kerana Nabi sering melakukannya. Zaid bin Tsabit berkata kepada Anas “Kami makan sahur bersama Nabi SAW kemudian kami berdiri untuk sholat”. Anas bertanya “Berapa lama jarak antara azan subuh dan sahur kalian?” Zaid menjawab “Sekitar membaca 50 ayat” [HR. Bukhari-Muslim]
Di dalam hadis di atas juga terdapat dalil bahawa batas akhir sahur adalah azan subuh, bukan yang diistilahkan dengan imsak oleh kebanyakan kaum muslimin hari ini. Ini terbukti dari pertanyaan Anas “Berapa lama jarak antara azan shubuh dan sahur kalian?”. Hal ini menunjukkan bahawa batas akhir sahur di masa Nabi adalah azan subuh. Hadits ini memperkuat firman Allah ta’ala “Dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar” (QS Al Baqarah: 187). Di samping itu, terdapat banyak hadits yang menunjukkan bahawa batas akhir makan sahur adalah azan subuh.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Manusia akan senantiasa dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka” [HR. Bukhari-Muslim].
Ibnu ‘Abdil Barr berkata “Hadits-hadits tentang menyegerakan berbuka dan mengakhirkan sahur derjatnya shahih dan mutawatir (banyak yang meriwayatkan). Di dalam riwayat Abdurrazzaq yang shahih dari ‘Amr bin Maimun, beliau berkata “Para sahabat Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah manusia yang paling bersegera berbuka dan yang paling mengakhirkan sahur”. (lihat Fathul Bari karya Ibnu Hajar).
Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu menuturkan “Dahulu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam biasa berbuka dengan rathb (kurma basah) sebelum menunaikan sholat. Jika tidak ada, maka beliau berbuka dengan tamr (kurma kering). Jika tidak ada pula, maka beliau berbuka dengan beberapa teguk air” [HR. Ahmad dan Abu Dawud, hasan shahih].
Do’a yang shahih yang diajarkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam ketika berbuka (dibaca setelah berbuka) adalah sebagai berikut “Dzahabat zhama’u wabtallatil ‘uruuqu wa tsabatal ajru insya Allah” yang ertinya “Rasa haus telah hilang dan urat-urat telah basah dan pahala telah ditetapkan insya Allah” [HR Abu Dawud, hasan].
Adapun do’a yang popular di kalangan kaum muslimin iaitu “Allahumma laka shumtu…dst” yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan At Thabrani derjatnya dha’if (lemah) sehingga tidak dapat dijadikan sebagai dalil. Di antara ulama’ yang mendha’ifkan hadits ini adalah Ibnul Qayyim dan Syaikh Al Albani. Oleh kerana itu, cukuplah hadits hasan yang telah disebutkan sebelumnya dijadikan sebagai pegangan beramal disebabkan hadits hasan dapat dijadikan sebagai dalil.
Memberi makan orang yang berbuka mengandungi keutamaan yang besar. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda “Barangsiapa yang memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikitpun juga” [HR Tirmidzi, shahih].
Seorang hamba yang taat dan memahami Al Qur’an dan As Sunnah tidak akan ragu bahawa Allah ta’ala menghendaki kemudahan bagi hamba-Nya dan tidak menghendaki kesulitan, sehingga syari’at yang bijaksana ini membolehkan beberapa perkara untuk dikerjakan oleh orang yang sedang berpuasa, di antaranya:
Seseorang yang mendapati waktu subuh dalam keadaan junub boleh untuk tetap berpuasa sebagaimana yang diriwayatkan oleh dua isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, iaitu ‘Aisyah dan Ummu Salamah radhiyallahu ‘anhuma keduanya berkata “Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah mendapati fajar (waktu subuh) dalam keadaan junub kerana bersetubuh dengan isterinya kemudian beliau mandi dan tetap berpuasa” [HR Bukhari-Muslim]
Boleh bagi orang yang berpuasa untuk bersiwak kerana tidak ada larangan khusus dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam untuk bersiwak ketika tengah berpuasa. Bahkan siwak di anjurkan setiap saat. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda “Siwak itu membuat mulut bersih dan diridhai Allah” [HR An Nasa’i, shahih]. Para ulama hanya berbeda pendapat tentang makruh atau tidaknya bersiwak bagi orang yang berpuasa ketika setelah zawal (matahari tergelincir ke barat). Namun, sekali lagi tidak ada dalil khusus yang memakruhkan apalagi melarang bersiwak ketika sedang berpuasa sebagaimana dijelaskan oleh Ibnu Taimiyyah dalam Majmu’ fatawa.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda “Dan bersungguh-sungguhlah kalian ber-isytinsyaq (ketika wudhu) kecuali dalam keadaan berpuasa” [HR Tirmidzi, shahih]. Ertinya, boleh ber-isytinsyaq ketika berpuasa akan tetapi tidak bersungguh-sungguh (berlebihan).
Hal ini dibolehkan selama tidak keluar mani. ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata “Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam biasa mencium dan mencumbu (isterinya) dalam keadaan berpuasa kerana beliau adalah orang yang paling kuat menahan syahwatnya” [HR Bukhari-Muslim].
Majoriti ulama membolehkan orang yang berpuasa untuk berbekam. Adapun hadits tentang batalnya puasa orang yang berbekam yang diriwayatkan oleh At Tirmidzi dan Abu Dawud memang shahih, akan tetapi telah di-mansukh (dihapus hukumnya) oleh hadits riwayat Ibnu Abbas, beliau berkata “Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam berbekam dalam keadaan beliau berpuasa” [HR Bukhari]. Disamakan pula hukumnya dengan derma darah kerana sama-sama mengeluarkan darah dari dalam tubuh. Akan tetapi, para ulama mempersyaratkan bekam dan derma darah tersebut boleh jika tidak membuat lemas.
Dalilnya adalah perkataan Ibnu Abbas, “Tidak mengapa seseorang mencicipi cuka atau sesuatu dalam keadaan sedang berpuasa selama tidak masuk ke kerongkongan” [HR Bukhari secara mu’allaq (tanpa sanad), Ibnu Abi Syaibah, dan Al Baihaqi]
Hal ini berdasarkan hadits riwayat Bukhari Muslim dalam pembahasan bolehnya berpuasa ketika mendapat fajar dalam keadaan junub yang telah kami sebutkan (point 1). Selain itu, dikuatkan dengan hadits dari Abu Bakr bin Abdurrahman beliau berkata “Sungguh aku melihat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam di Al ‘Araj mengguyur kepalanya dengan air dalam keadaan beliau sedang berpuasa – kerana keadaan yang sangat panas terik- ” [HR Abu Dawud dan Ahmad, shahih].
Kaum muslimin rahimakumullah, sesungguhnya puasa itu tidak semata-mata menahan diri dari makan, minum, dan syahwat. Akan tetapi, puasa juga mencakupi menahan diri dari perbuatan dosa dan kemaksiatan. Tidakkah sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam ini menjadi peringatan bagi kita? “Betapa banyak orang yang berpuasa namun dia hanya mendapatkan rasa lapar dan dahaga semata dari puasanya tersebut” [HR Ahmad,Ibnu Majah, dan Ad Darimi dengan sanad shahih]. Berikut ini adalah hal-hal yang dapat menjadikan puasa kita tidak bererti di sisi Allah ta’ala.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perbuatan dusta malahan mengamalkannya, maka Allah tidak perlu kepada rasa lapar dan haus yang dia tahan” [HR Bukhari]. Dan sungguh hal ini masih banyak diremehkan oleh banyak kaum muslimin sehingga secara sedar atau tidak sedar ada yang masih melakukan perbuatan dusta meskipun dia sedang berpuasa.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda ”Tidaklah puasa itu hanya sebatas menahan makan dan minum, akan tetapi puasa itu juga menahan diri dari berkata sia-sia dan kotor. Maka apabila ada seseorang yang mencela dan menjahilimu, maka katakanlah ‘Aku sedang puasa, aku sedang puasa’” [HR. Hakim dan Ibnu Khuzaimah, shahih]
Hendaknya seorang yang berpuasa meninggalkan seluruh perbuatan maksiat. Meskipun maksiat tersebut tidak membatalkan puasa, namun maksiat tersebut dapat mengheret pelakunya ke tingkat puasa yang paling rendah, iaitu hanya meninggalkan makan dan minum bahkan hanya berlapar dan dahaga semata tanpa memperoleh ganjaran pahala yang disediakan untuk orang-orang yang berpuasa.
No comments:
Post a Comment