Dengan kedudukan itu juga, jelas melambangkan kegagalan Kerajaan BN yang ditunjangi Umno dalam mendidik rakyatnya tentang bahaya arak agar menjauhinya.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Taib Azamuddin Md Taib (gambar) berkata, kejadian itu turut menjadi satu tamparan hebat kepada umat Islam di negara ini, memandangkan negara ini adalah negara umat Islam dengan Islam sebagai agama rasminya.
Menurut beliau, dalam masa yang sama, ia turut melibatkan maruah para mufti sendiri di tanah air kerana Malaysia turut memiliki mufti yang ramai yang berjumlah 14 orang di seluruh negara.
Katanya, selain itu, ia turut memberikan tamparan hebat kepada menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam yang berada di JPM yang walaupun tidak mempunyai kementerian khusus, tetapi berfungsi sebagai menteri yang bertanggungjawab penuh terhadap hal ehwal Islam di negara ini.
"Memang amat mengaibkan. Dah lebih 50 tahun Kerajaan BN yang ditunjangi Umno memerintah negara ini, tetapi masih gagal mengatasi masalah ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Akhbar milik MCA, The Star semalam menyiarkan statistik tahun ini yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bahawa Malaysia menduduki "ranking Top 10" peminum arak paling ramai di dunia.
WHO turut menjelaskan, Malaysia membelanjakan US$500 juta (RM1.5 bilion) untuk alkohol dengan kadar penggunaan per kapita sebanyak 7 liter, manakala penggunaan beer di Malaysia pula mencecah 11 liter per kapita.