Monday, November 25, 2013

Ahmad Ammar, meminang bidadari

Ahmad Ammar, anak muda yang menjadi bualan di dunia maya, menjadi rakyat Malaysia pertama yang dimakamkan di pemakaman yang menempatkan makam Abu Ayyub Al Ansori r.a., syuhada' dan sahabat Rasulullah SAW di kota Constantinopel.

Baru berusia 20-an, beliau dijemput Allah pada 2 November 2013 di bumi Turki setelah terbabit dengan kemalangan dengan sebuah ambulan. Kuasa Allah menentukan segalanya. Beliau yang diceritakan terlibat dalam misi bantuan ke Syria telah bermimpi bertemu bidadari sebagaimana yang menjadi mainan mimpi para syuhada' sebelum dijemput Allah.

Ammar bersama keluarga di RMC

Saya tidak mengenali beliau, tetapi melalui tulisan sahabatnya dan video yang saya tonton, menjadikan diri ini terlalu kerdil untuk membicarakan tentang diri beliau, namun, terpanggil untuk berkongsi kisah beliau walaupun sekadar berkongsi dari tulisan sahabat beliau.

Setiap manusia itu hidup dalam keadaan rugi melainkan orang-orang yang sentiasa mengingati Allah. Dan yang paling rugi ialah seseorang yang hidupnya tidak berdoa untuk mati sebagai syuhada'

Dari Abdurrahman bin Syuraih r.a (ada riwayat lain dari Mu’adz bin Jabal r.a) : Nabi saw bersabda, “Barangsiapa yang meminta mati syahid kepada Allah dari dalam hatinya secara jujur, maka Allah akan menyampaikannya ke darjat orang-orang yang mati syahid, walaupun ia meninggal dia atas tempat tidurnya.” [HR Tirmidzi : 1653]

 

Ahmad Ammar Ahmad Azam telah pergi, meninggalkan suri tauladan yang baik untuk semua. Sesungguhnya permintaannya untuk syahid dimakbulkan Allah, dan dijemput di atas jalan raya. Sahabat-sahabat beliau redha dengan pemergiannya dan menggelarkannya sebagai syahid yang tertangguh.



Saya kongsikan dari sahabat beliau, dan saya olah tulisannya mengikut ejaan penuh, boleh rujuk yang asal dekat sini.

bon voyage my brother

Cerita tentang Allahyarham Akhi Ahmad Ammar.

Bismillah...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Oleh kerana ramai yang bertanya dan ingin mengenali lebih dekat siapa Al-Marhum Ahmad Ammar Bin Azam yang baru-baru ini menggemparkn ummah dgn pemergian beliau menghadap Ilahi. Maka saya sebagai sahabat sepengajian beliau di Turki berasa bertanggungjawab untuk memperkenalkan serta mem 'promote' kan segala kebaikan yang beliau pernah lakukan semasa hayatnya mudah-mudahan ia dikira ilmu bermanfaat yang ditinggalkan beliau (yang mana pahalanya berterusan sehingga kiamat). Harap kepada siapa yang baca, bacalah sampai tamat. Maaf ia agak panjang dan akan mngambil masa paling kurang 20 minit dengan banyak ayat yang tak tersusun.

Beliau antara student Malaysia terawal (beliau batch ke-2, saya ke-4 walaupun sampai sekarang student Malaysia di Turki tak sampai 35 orang pun) yang melawan arus perdana apabila memilih Turki sebagai destinasi pengajian setelah SPM. Sebab tu kami panggil beliau Abg Long. Agak aneh, seorang yang pernah dinobat sebagai pelajar kedua terbaik SPM 2010 di RMC dengan pencapaian 9A1 1A2 memilih untuk sambung di Turki, Negara yang sering dilabel sebagai Negara Eropah yang 'sakit'. Patutnya beliau ke tempat yang lebih berprestij.Dah la pilih Turki, ingatkan ambik medic ke, atau engineering, tengok-tengok ambik sejarah, bidang yang sering diambil oleh student gred C dan D, sejarah Uthmaniyyah pulak tu. MashaAllah. Bila pertama kali saya tanya beliau kenapa pilih Turki dan ambil sejarah. Jawapan beliau "Turki ni dulu pernah jadi pusat Dunia Islam 600 tahun, takde kuasa dunia yang lagi lama daripada tu, Negara lain pun respect dan tunduk dengan Turki, kenapa kita tak bangga, tu sejarah kita. Kita boleh kembalikan balik sejarah tu. Lepas kita ni dah belajar tinggi-tinggi, last-last orang yang blaja lebih-lebih kurang pulak control kita. Sebab tu ana ambik sejarah". Cukup tersentak dengan jawapan tajam beliau.

Beliau seorang yang sangat pendiam, tapi sekali beliau cakap, semua orang nak dengar dan akan ingat apa yang beliau cakap. Beliau juga sangat susah nak gelak ketawa, tapi sekali beliau ketawa semua orang ingat bila dan apa yang buat beliau ketawa. Beliau jangan haraplah nak bercakap dengan perempuan, sangat kekok kalau beliau dalam situasi tersebut. Pernah sekali beliau bawa student Malaysia overseas yang datang cuti di Turki dan kebetulannya perempuan, oleh kerana beliau malu nak  bagitau kat perempuan tersebut, beliau call seorang sahabat kami yang ambik master di Turki untuk tolong bagitau perempuan tu apa yang dia nak bagitau. Padahal beliau ada depan perempuan tersebut. MashaAllah begitu sekali beliau menjaga dirinya.

Beliau seorang yang sangat rajin menolong, kalau ada program apa-apa di rumah, beliau orang yang pertama sampai untuk bantu bentang tikar, sapu-sapu, kadang-kadang masak dan hidangkan makanan. Beliau jugala yang last sekali balik sebab nak bantu gulung tikar, sapu-sapu balik, basuh pinggan dan bungkuskan makanan. Sungguh luar biasa akhlak serta tingkah laku beliau. Beliau sangat sopan santun, sangat berjaga-jaga ketika bertanya dan sangat berdisiplin. sebab beliau pernah cakap "dulu masa kecik-kecik memang kuat main-main tapi lepas masuk RMC memang kena train habis". Saya cukup rapat dengan beliau dan keluarga beliau malah saya mengenali bapa beliau Hj. Azam sudah 10 tahun. Mana tidaknya masa first time saya mengaji depan orang umur 8 tahun, atas permintaan bapa beliau lah yang ketika itu masih Presiden ABIM, sejak itu lagi saya aktif dalam program ABIM dan WADAH sehingga kini. Sejak saya sampai di Turki, kalau sabtu ahad, saya akan pergi ke rumah beliau dekat Fetih Mahallesi (hari-hari lain saya di asrama Turki), makan sama-sama, beliau masak, bersukan, berdiskusi sampai tulis kat whiteboard dan akan tidur di biliknya. Antara cara beliau ialah sebelum tidur dan bangkit dari tidur, beliau akan tepuk tilam dan baca 3 surah Qul, pada masa tu sy ingat mungkin dari sekolah menengah lagi kot dia macam ni. Beliau sering tidur lewat kerana mmbaca buku (buku-buku nya banyak yang dah ghabak dan bnyak tulisan menunjukkan yang memang beliau membacanya). Bulan lepas, saya diminta untuk bentang mengenai sejarah Uthmaniyyah di laman Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM), beliaulah yang saya jadikan rujukan utama. Beliau pun bagi la buku-buku dan artikel-artikel sebagai persediaan untuk saya. Beliau juga cadangkan supaya setiap minggu mesti ada student yang akan present mengenai apa-apa ikut bidang masing-masing.

Ketika Eid Adha yang lalu, kami (student Malaysia) berkumpul bersama-sama selama sminggu. dalam seminggu tu ada 1 hari full program dari paga sampai malam. Kami dibahagi-bahagi ikut kumpulan. Ditakdirkn Allah, kumpulan saya diketuai oleh beliau. Tapi yang lawaknya nama kumpulan saya yang beliau bagi. Oleh sebab beliau sangat suka Sultan Muhammed Al-Fatih, maka nama kumpulan kami yang beliau bagi ialah 'Fatih Var Mı?' yang bermaksud Fatih ade ke? sangat kelakar sebab nama kumpulan kami soalan. Jadi setiap kali nama kumpulan kami dipanggil, semua akan ketawa terbahak-bahak termasuk kami dan beliau sendiri. Tugasan kami adalah pergi ke muzium Atatürk dan buat sikit research. Dalam muzium itu, beliau seolah-olah jadi penceramah apabila segala gambar-gambar yang ada dalam muzium tersebut beliau terangkn dengan detail lebih daripada petugas-petugas muzium terangkan pada kami.

Ada sekali tu time makan malam di rumahnya, beliau cerita pengalaman beliau smasa mengikuti misi kemanusiaan di Syria. Beliau kata,"Ana ni bukannya reti Arab". Semua orang yang menyertai misi ini tahu bahasa arab dan bila tentera Syria tanya dari mana datang, mereka jawab Syria (walaupun bukan sebenarnya). Bila sampai turn beliau ditanya, beliau jawab Maliziya, terus tak dapat masuk. Alhamdulillah beliau berjaya juga cari jalan belakang dan masuk pada waktu malam secara sembunyi. Sebelum beliau perga, beliau pernah kata "ana kalau tengok perempuan-perempuan Turki ni mesti rasa macam nak kena kahwin daa ni, tak tau sebab apa". Ketika beliau bermalam di wad hospital Syria, beliau terdengar bunyi bom yang sangat kuat, terus beliau mengucap dan bersedia untuk syahid (kerana salah satu tujuan beliau ke Syria juga adalah untuk syahid). Kemudian takde apa-apa berlaku beliau terus tidur. Dalam tidurnya beliau bermimpi bertemu bidadari. Ketika hari terakhir beliau d Syria, beliau ada bertanya dengan sorang pemandu di Syria (kebetulan driver tu boleh cakap inggeris sikit-sikit) "kenapa pemuda-pemuda kat sini berani betul dan nak syahid" driver tu jawab "pemuda kat sini dah tak pandang daa harta benda dan wanita-wanita, diorang sume hanya tunggu syurga dan bidadari syurga, sebab tu diorang nak syahid". Beliau pun ceritakan apa yang beliau mimpi, driver tu kata "awak ni boleh mati syahid ni". Sekembalinya beliau ke Istanbul dengan selamat, kami pun (pasal baru habis baca buku 'Kemenangan yang Tertangguh oleh saudara Hasbie Muda) gelarkn beliau 'Syahid yang Tertangguh'. Bila beliau cerita pada kami yang beliau mimpi. Kami semua gelak dan kata, "enta ni kuat sangat bergurau". Namun hari-hari berikutnya beliau memang berubah, setiap kali beliau pandang perempuan, tiada apa-apa yang dirasainya. 'Ajeeb!!!

Pernah juga beliau minta pada saya, "enta tolong ngaji time ana kawen nanti ye" saya pun jawab sambil tersengheh "dah dekat ke? dengan orang mana?" Beliau jawab "ana mintak ayah ana carikan, ayah nak cari orang bosnia" katanya sambil berseloroh. Beliau juga cakap "nanti kalau kata ana meninggal kat sini pun enta tolong ngaji juga sikit paling-paling pun Qul huAllah pun ok la" saya pun jawab "tak yah la cakap macam tu".

Beberapa hari sebelum beliau pergi mengahadap Yang Maha Esa, kami bertemu dalam satu majlis makan malam di Çamlıca. turut dihadiri oleh menteri pelancongan, Dato' Seri Nazri Aziz. Kebetulan beberapa hari sebelum itu pula, saya berkesempatan bertemu dengan Menteri Luar Turki, Dr. Ahmet Davutoğlu (nanti saya terangkan kenapa saya selitkan nama Dr. Davut). Beliau tanya saya macamana boleh jumpa Dr. Davut sebab beliau nak sangat jumpa dengannya. Saya jawab Dato' Seri Anwar Ibrahim yang bawak jumpa masa dia datang Beşiktaş hari tu. Beliau kata Dr. Davut seorang yang sangat bijak. Gandingan EGD (Erdoğan, Gül, Davutoğlu) sahaja dah boleh gerunkn musuh-musuh Turki. Pada malam itu beliau bercakap banyak lebih dari biasa.

HasbunAllahu wani'mal wakeel, Wallahi tak saya sangka-sangka itulah pertemuan perpisahan kami di ardhillah ini kerana 2 hari selepas itu, insan yang sudah saya anggap seperta abang dan murobbi telah dipanggil menghadap Tuhannya. Beliau pergi meninggalkan kami dan ummah buat selama-lamanya. Saat beliau ingin melintas di jalan raya, kaki beliau tergelincir kerana jalan mamang agak licin, terus dilanggar sebuah ambulan kena bahagian bahu beliau (faham-fahamlah ambulan Turki laju macamana). Kami terus ke hospital untuk urusan forensik. Ibu bapa beliau tiba di airport pada besoknya dengan keadaan yang cukup tenang (saya tak pernah melihat wajah setenang mereka yang baru sahaja kehilangan seorang permata yang lebih awal dipanggil olehNya, malah beliau merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga). Saya masih tak dapat terima hakikat ketika itu, ia seperti mimpi. Setelah jenazah dimandikan, kelihatan peluh masih ada pada wajah beliau. Saya kenal muka beliau time tidur dan begitu lah wajah yang sama pada ketika itu, memang rasa macam nak kejutkn je. Namun Allah lebih menyayangi beliau.

Ketika jenazahnya di solatkan di Masjid Ayyub Al-Ansaari, ribuan yang hadir. Pada ketika itu, saya yakin beliau seorang yang tiada musuh. Rakan-rakannya sama-sama ponteng kelas pada hari itu sebab lecturer pun tak datang universiti. Semata-mata untuk bersama solatkan jenazah beliau. Saat dikebumikan di perkuburan Eyyüp Sultan Camii, ramai yang tak sangka beliau boleh ditempatkan di situ (kerana perkuburan tersebut juga ada maqam sahabat Rasulullah S.A.W, Abu Ayyub Al-Ansaari serta para mukminin yang lain, jadi agak luar biasa kalau orang yang tiada kaitan dengan kerajaan, tambahan pula foreigner untuk ditempatkan di situ) MasyaAllah. Ketika itu, kawan-kawan universiti beliau turut memakai lencana gambar beliau pada pakaian masing-masing. Dalam video ini, sebenarnya bukan saya dijemput untuk baca surah Al-Ikhlas (tak seperta yang tertera dalam video), tapi sayalah yang minta untuk baca. Saya cakap dekat Hoca bahawa Al-Marhum pernah minta saya baca pada masa ini. Saya pun baca surah Al-Ikhlas sebnyak 3 kali (dalam video tu kali pertama), kali ke-2 dan ke-3 saya sebak dan tak dapat menahan air mata yang mengalir mengenangkan permintaan beliau semasa hayatnya yang pada masa itu saya fikir beliau bergurau. Setelah selesai urusan pengkebumian, bapa beliau jumpa dan kata pada saya sambil senyum "nanti baca lama-lama lagi", saya terdiam, hati saya kata pakcik ni tak rasa sedih ke, saya lebih emosi dari bapa beliau ketika itu. Pada keesokan harinya, bapa beliau mendapat panggilan telepon dari Dr. Davut yang turut mengucapkan takziah. SubhanAllah, siapa sangka orang yang teringin sangat beliau nak jumpa semasa hidup tapi tak berkesempatan. Namun saat beliau pergi turut mendapat perhatian orang itu. Beberapa hari yang lalu, fakulti beliau di Universiti Marmara telah menanam sebuah pokok yang diberi nama sempena nama beliau. Papan utama di Marmara Universiti tertera "AHMET AMMAR, BİZ ÇOK SEVİYORUZ" yang bermaksud " Kami amat merinduimu Ahmad Ammar". Bapa beliau tatkala melihat suasana tersebut kata pada saya sambil menggeleng kepala "ini bukan anak yang pakcik didik ni, mesti ada orang lain yang didik dia sampai ke tahap ini."

Last sekali sebelum beliau pergi, status terakhir beliau di FB surah Taubah ayat 111 yang mana Allah berfirman "Sesungguhnya Allah membeli orang-orang mukminin, diri mereka serta harta mereka dengan syurga" cukup memberi kesan kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Saya redha beliau tetap telah pergi. Hanya ilmu, nasihat dan semangat yang beliau tinggalkn pada saya. Kalau dulu orang sebut Fatih var mı? pasti akan ketawa terbahak-bahak, namun kini kalau disebut lagi, hanya wajah beliau yang akan dikenang dan air mata akan mengalir. Ramai diantara kami ingat apa yang jadi pada beliau akan menjadi kerisauan ibu bapa di luar untuk menghantar anak-anak mereka ke Turki. Namun kuasa Allah rupa-rupanya beliaulah pencetus dan pembuka mata kepada masyarakat untuk mula mengenal apa itu Turki disamping menjalinkan hubungan yang erat antara Malaysia dan Turki.

Sungguh, beliau hebat, hebat, memang hebat!!!. Moga dengan hanya menonton video ini ramai lagi pemuda-pemuda yang akan mengikut jejak wira uthmaniyyah ini. Saya pasti dan akan selama-lamanya mencemburui beliau. "Abg Long Ammar Ağabey Seni çok seviyorum". Doakan beliau ditempatkn bersama para mukminin.

Al-Faatihah.


MUHAMMAD BiN AHMAD ZAHiD
20/11/2013
İSTANBUL, TÜRKİYE

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails