Thursday, June 2, 2011

"Bir Halal" jika cara pembungkusan sudah diragui?

Umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak meminum sejenis bir yang didakwa halal oleh syarikat pengedarnya kerana didapati mengandungi alkohol melebihi had dibenarkan syarak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata dakwaan syarikat itu bahawa kandungan alkohol cuma 0.01 peratus adalah tidak benar kerana selepas ujian makmal mendapati kandungannya sebanyak 0.5 peratus.

Sekadar gambar hiasan

Katanya Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) bersama Majlis-Majlis Agama Islam Negeri akan bertindak menyekat “Kita akan merujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk mendapatkan maklumat lebih jelas,” katanya selepas menutup program Juara Rakyat anjuran UMNO Bahagian Padang Serai di Padang Awam Pekan Sungai Karangan, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama, Naib Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Bakri Hashim. Akhbar kelmarin melaporkan mengenai penjualan `bir halal' di pasaran yang semakin popular di kalangan umat Islam dan dikesan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) baru-baru ini.

Akhbar memetik satu sumber berkata, JAIJ mengambil contoh minuman itu untuk diuji di makmal dan hasilnya mendapati bir berkenaan dihasilkan dari pelbagai perisa buah-buahan mengandungi 0.5 peratus alkohol.

JAIJ kemudian memaklumkan kepada JAKIM dan KDRM supaya mengambil tindakan sewajarnya termasuk menghentikan penjualannya jika perlu.

Akhbar itu turut memetik Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsuddin sebagai berkata bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan kandungan alkohol dalam makanan serta minuman yang dibenarkan syariat Islam ialah tidak melebihi 0.01 peratus.

Katanya ulama bersepakat menetapkan jumlah alkohol dengan kuantiti itu kerana ia boleh terhasil dalam makanan dan minuman secara semula jadi.

Minuman yang diimport dari sebuah negara Islam di Timur Tengah itu banyak terdapat di kafe-kafe di negara ini yang dijual antara RM3 hingga RM5 sebotol. Berita Harian

Dalam artikel yang lalu telah saya tulis mengenai cara pembungkusan mirip arak sejenis minuman yang di bawa dari timur tengah. Lalu sekarang dapat dikesan bahawa minuman tersebut mengandungi kandungan alchohol yang melebihi had yang dibenarkan mengikut syara', ternyata mengikut pandangan saya, jika cara pembungkusan itu sudah di khuatiri, apatah lagi isi kandungan yang terdapat didalamnya. Wallahua'lam.

Sesungguhya dalam diri orang beriman itu terdapat rasa takut kepada Allah terhadap apa-apa yang dilakukannya, sekalipun dalam perkara-perkara yang dibenarkan dalam Islam. Sila baca artikel saya mengenai Istak, dan bacalah dengan rasa inginkan keberkatan dalam setiap perbuatan yang kita lakukan sehari-harian. “ISTAK” halal atau haram? Mohon maaf jika ada yang tersinggung dengan tulisan saya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails